Negeri Melaka sememangnya dikenali sebagai salah sebuah destinasi pelancongan yang terunggul di Malaysia dengan keunikan warisan budayanya yang tersendiri, tempat-tempat bersejarah untuk dilawati dan pastinya makanannya yang begitu enak dan unik sekali.
Rekreasi
Alami pelayaran yang menakjubkan sejauh 9km menyusuri Sungai Melaka selama 45 minit sambil menikmati pemandangan indah, bangunan dan rumah-rumah kedai peninggalan era Belanda, rumah-rumah tradisional Melayu dan banyak lagi pemandangan yang menarik peninggalan sejarah warisan dunia.
Zoo Melaka
Zoo Melaka yang terletak di Ayer Keroh, adalah salah satu tempat tarikan utama pengunjung berikutan kedudukannya yang strategik, iaitu di Lebuh Ayer Keroh, jalan utama yang menghubungkan Melaka dengan Lebuhraya Utara-Selatan. Zoo Melaka adalah zoo yang kedua terbesar di Malaysia dan ianya menjadi kediaman pelbagai spesies binatang yang diancam kepupusan. Selain dari menyaksikan berbegai spesis hidupan liar, pengunjung juga boleh menikmati keseronokan berinteraksi bersama gajah dan menunggang kuda, yang mana sering menjadi kegemaran pengunjung ke Zoo Melaka.
Tarikan utama spesis hidupan liar yang terdapat di Zoo Melaka ialah seperti Seladang, Harimau Belang, Tapir, Gajah dan sebagainya. Sejajar dengan konsep pembangunan zoo, Zoo Melaka telah mengamalkan konsep terbuka dan mengekalkan persekitaran semula jadi yang hijau. Untuk mencapai matlamatnya, empat fungsi utama Zoo Melaka adalah Pembiakan Dalam Kurungan (Konservasi), Penyelidikan, Pendidikan dan Rekreasi
Taman Buaya Melaka
Taman Buaya Melaka mempunyai kira-kira 100 spesies buaya dari serata dunia yang dipelihara dalam suasana yang hampir menyamai habitat semulajadi mereka.Pengunjung juga boleh menyaksikan persembahan dan pertunjukan yang dipersembahkan oleh penjaga buaya ini pada setiap hari Sabtu. Pertunjukan yang mendebarkan ini pasti akan membuatkan anda tidak senang duduk.
Tarikan terbaru di Taman Buaya yang menjadi salah satu tarikan utama kepada pengunjung ialah Taman Permainan Air. Terbuka kepada semua dan ia mempunyai keluasan 6000 kaki per segi dan kedalaman diantara 1.5′ dan 2.5′.Tarikan lain di taman ini termasuklah rumah hantu dan pelbagai kemudahan rekreasi yang lain.
Sumber: http://www.melaka.gov.my





